Senin, 27 Maret 2023

Benarkah generasi muda kini 'lembik', rapuh emosi?

Tags

 

Benarkah generasi muda hari ini 'lembik' dan rapuh dari segi emosi? Dalam kalangan pensyarah kini bukan hal luar biasa untuk berhadapan dengan pelajar yang merungut kononnya tugasan menimbun hanya akan menambah tekanan.

Ada juga pelajar yang kerap tidak hadir kelas, mendapat surat sakit atas sebab masalah tekanan selain ada kes mahasiswa yang menangguh pengajian disebabkan kemurungan.

Hal ini membawa kepada pertanyaan apakah sebenarnya yang berlaku kepada generasi muda sekarang?

Berdasarkan kajian 10 tahun Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NMHS) yang dikeluarkan pada 2017, tahap kesihatan mental membabitkan kemurungan dan kegelisahan dalam kalangan pelajar sekolah menengah di Malaysia semakin teruk berbanding yang direkodkan dalam NMHS 2012

Hari ini kumpulan berkenaan sudah pun menamatkan pembelajaran namun masih terdapat sebahagian yang sedang meneruskan perjalanan akademik mereka.

Bagi Pegawai Hal Ehwal Pelajar di sebuah universiti awam, Hilmi Razali, berkata ada banyak sebab mengapa pelajar berhadapan dengan kemurungan hari ini. Selain masalah kesihatan mental, persekitaran yang mereka hadapi kini banyak berbeza dengan generasi sebelumnya.

"Secara umum berdasarkan pengalaman selama 10 tahun saya mengendalikan kes berkaitan, kebanyakannya berpunca daripada masalah keluarga, kewangan malah dibuli dalam talian tidak kurang disebabkan ancaman 'scammer' juga perhubungan terlarang.

"Hal ini menyebabkan mereka gagal untuk fokus dalam pelajaran, ketinggalan dengan rakan lain dan akhirnya hilang keupayaan mengendalikan diri sendiri," katanya.

Hilmi berkata, kebanyakan pelajar tidak mendapatkan rawatan kerana gagal menyedari masalah dihadapi hinggalah ia berada di tahap yang teruk misalnya bertindak agresif terhadap rakan lain malah cuba mencederakan diri sendiri.

Tambahnya di peringkat universiti sebenarnya kemurungan juga berpunca daripada perkembangan teknologi komunikasi yang pantas berkembang. Mereka memperoleh banyak informasi yang tidak terkawal dari internet.

"Ia mungkin sukar dibayangkan tetapi informasi yang tidak terkawal juga boleh menjadi punca.

"Misalnya, terdapat satu kejadian kemurungan yang saya kendalikan membabitkan seorang siswa hendak membunuh diri dengan terjun jambatan, bagaimanapun dia berjaya diselamatkan.

"Pelajar itu datang dari keluarga kaya, ternama dan bijak pula. Setiap semester berada dalam senarai dekan namun dia tertekan hendak mengekalkan kedudukan itu selain berhadapan masalah keluarga kerana ketika itu ibu bapanya hendak bercerai. Dia murung hingga membahayakan keselamatan bukan saja dirinya tetapi kawan-kawan lain dan akhirnya dinasihatkan berhenti," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Azmawaty Mohamad Nor, berkata secara umum ramai penuntut universiti kurang literasi kesihatan mental. Ia mengakibatkan mereka tiada daya tindak dan gagal berfikir dengan baik apabila berdepan dengan situasi rumit.

Namun apa yang perlu diketahui kata Azmawaty, masalah kesihatan mental berbeza dengan penyakit mental.

"Kemurungan boleh ada pada semua orang, contohnya apabila diberi banyak tugasan. Jika kita lakukan ujian berkaitan, kita akan dapati keputusan yang menunjukkan kemurungan tapi sebenarnya ia isu yang biasa dalam diri.

"Dalam konteks ini ia boleh diatasi atau hilang kerana sifatnya yang boleh diubahsuai. Namun keresahan itu boleh menjadi depresi kalau kita tidak mampu sesuaikan diri," katanya.

Depresi merujuk kepada rasa sedih mendalam dan hilang minat pada hal-hal yang disukai. Jika berlanjutan tanpa rawatan boleh mengganggu hubungan sosial dan munculnya pemikiran untuk bunuh diri atau hingga ke tahap tindakan nekad untuk berbuat demikian.

Tegas Azmawaty, tahap keseriusan masalah kemurungan tidak dapat lihat dengan mata kasar. Mereka yang mengalami kemurungan juga berasa malu untuk mendapatkan rawatan kerana stigma masyarakat. Tidak boleh dinafikan wujud label bahawa berjumpa dengan doktor, kaunselor atau psikiatri bererti orang itu gila, sewel dan seumpama dengannya.

"Label begini menimbulkan diskriminasi, stigma juga menjadi halangan utama kepada mereka yang menderita masalah kemurungan atau kesihatan mental untuk mendapatkan rawatan pemulihan," katanya.

Azmawaty berkata, dalam konteks mahasiswa masalah kemurungan boleh menjadi parah jika dari peringkat awal ia tidak ditangani dengan baik. Di universiti, mahasiswa perlu menyesuaikan diri dengan banyak perkara baharu merangkumi peralihan budaya pembelajaran dan pergaulan.

Mereka akan mudah tertekan sekiranya gagal menguasai pelajaran dengan baik, bersaing dengan rakan sekelas yang lain ditambah dengan kegagalan diri sendiri untuk mengatasi rasa malu bertanya.

Hal ini menyebabkan mereka hilang rasa keyakinan diri, menjadi murung dan terjebak dengan tingkah laku negatif.

"Selain itu, kemurungan juga boleh terjadi akibat corak pemakanan dan tidur yang tidak mencukupi.

"Kehidupan aktif pelajar di universiti dalam persatuan, kokurikulum dan aktiviti kemasyarakatan kadang-kala menyebabkan mereka tidak cukup rehat," katanya.

Kata Azmawaty, isu kemurungan dan masalah tekanan dalam pelajar secara amnya dan mahasiswa khususnya lebih terlihat ketika negara berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Peralihan kaedah pembelajaran, penggunaan gajet, faktor ekonomi keluarga dan persekitaran yang tidak kondusif menjadi punca pelajar murung. Apatah lagi dalam tempoh itu semua sesi pembelajaran dibuat di rumah secara dalam talian. Hal ini menyebabkan mereka turut mendapat tempias masalah keluarga misalnya isu ekonomi yang menyaksikan ibu bapa dibuang kerja atau hal-hal kekeluargaan yang lain.

Meskipun kini sesi pembelajaran kembali seperti biasa, Azmawaty berkata masih terdapat segelintir pelajar terjejas dan gagal menyesuaikan diri.

Tegasnya, langkah awal yang boleh dilakukan pelajar murung adalah berjumpa dengan kaunselor jika enggan bertemu doktor.

Katanya, tanda-tanda awal kemurungan tidak boleh dibiarkan berlanjutan melebihi dua minggu. Ia perlu dikawal dan ditangani dengan sewajarnya bagi memastikan kemurungan klinikal itu berkurangan.

"Saya nak pesan untuk mereka yang cenderung nampak halusinasi, dengar-dengar suara di telinga, tolonglah jangan pergi dapatkan rawatan bomoh dahulu.

"Bukan skeptikal tetapi tolong dapatkan rawatan yang betul dahulu iaitu berjumpa doktor dan kaunselor kerana anda boleh dibantu," katanya.

Zurri AmianG, Pendiri zurriAmiang, sebuah usaha multimedia diantaranya Shooting Video, Fotografi, Kursus Komputer, dll. Baca profil Zurri AmianG selengkapnya, klik di sini...

Komentar Facebook :

Komentar dengan Akun Google :


EmoticonEmoticon