Perjalanan kebanyakan murid ke Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Sumandi di perairan Semporna, Sabah dengan menaiki bot atau perahu ada kalanya boleh diibaratkan seperti telur di hujung tanduk dalam keadaan cuaca buruk atau ombak kuat.
Meskipun mempunyai risiko tersendiri, situasi itu dianggap lumrah oleh penduduk setempat kerana tiada laluan darat yang menghubungkan pulau berkenaan dan tanah besar.
Apatah lagi, ia bukan satu-satunya cabaran yang dihadapi 154 murid serta 21 guru termasuk kakitangan di sekolah yang beroperasi sejak 1988 itu.
Guru Penolong Kanan (Kokurikulum), Mohd Termizy England, berkata walaupun sudah beroperasi sejak 1980-an, sekolah itu masih menggunakan bangunan kayu sebagai bilik darjah.
"Kami sebenarnya amat memerlukan bangunan sekolah dengan binaan konkrit kerana struktur sedia ada yang diperbuat daripada kayu sudah agak usang.
"Namun, ia bukanlah langsung tidak diselenggara memandangkan kami ada menerima peruntukan seperti menampal bumbung zink yang bocor dan memperbaiki dinding.
"Tetapi kerosakan masih tetap berlaku kerana rangka asas bangunan ini sudah terlalu lama dan tidak sesuai dengan perubahan cuaca sekarang," katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.
Mohd Termizy berkata akibat masalah itu pengurusan sekolah terpaksa mengurangkan enam kelas kepada lima kelas buat masa ini yang memuatkan 30 hingga 40 murid dalam setiap bilik darjah.
Katanya, kebanyakan murid adalah anak nelayan yang tinggal di pulau-pulau kecil seperti Kampung Tandoan, Kampung Silawa selain Kampung Sumandi. Umumnya mereka tidak memiliki tahap penguasaan akademik yang tinggi dan perlu diberi lebih perhatian oleh guru.
Justeru, beliau berpendapat bilik darjah yang ideal sewajarnya menempatkan sekitar 25 murid atau kurang daripada itu untuk suasana pembelajaran kondusif ditambah suasana sekolah yang terletak di pulau.
"Sekeliling sekolah juga tiada pagar dan ada ketikanya dimasuki pelbagai jenis haiwan termasuk anjing dan dikhuatiri mengundang bahaya selain mengganggu suasana pembelajaran.
"Kemudahan tandas murid yang sudah terlalu usang juga pada hemat saya turut perlu dibina semula," ujarnya sudah 13 tahun berkhidmat sebagai pendidik.
Katanya, SK Pulau Sumandi boleh dikategorikan berada pada Skala 4 berikutan komponen atau fasiliti bangunan yang tidak sempurna walaupun ia masih berada dalam kategori selamat dan tidak tergolong dalam senarai sekolah daif.
KPM baru-baru ini menyatakan penetapan projek pembangunan semula atau menaik taraf bangunan sekolah daif dibuat berdasarkan analisis skor gred impak.
Skor itu mempunyai tujuh tahap skala iaitu Skala 1 hingga 4 merujuk keadaan bangunan masih berfungsi dan selamat digunakan, manakala Skala 5 adalah bangunan yang dilaporkan pihak sekolah sebagai tidak selamat dan memerlukan penyelenggaraan.
Skala 6 pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan pihak teknikal Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Skala 7 merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan syor roboh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Dalam hal ini, Mohd Termizy turut mengakui status geran tapak tanah sekolah yang masih dimiliki orang kampung menyebabkan pembangunan sekolah sukar dijalankan.
Katanya, liputan internet kerap bermasalah turut merencatkan suasana pembelajaran yang lebih berkesan.
Selain itu, beliau turut berharap sebuah prasekolah didirikan di SK Pulau Sumandi bagi memberi pendidikan awal kepada anak-anak sekali gus mengatasi masalah 3M iaitu membaca, menulis dan mengira yang dihadapi murid Tahun Satu.
"Kami menjangka majoriti murid Tahun Satu yang masuk ke sekolah pada 20 Mac nanti akan datang dengan 'kosong' kerana belum ada pra sekolah dibina berdekatan kawasan ini," katanya.
Lain pula kisahnya dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya di Kota Kinabalu, Sabah yang diuji musibah ribut pada 29 November lalu.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, Kanchi Abdullah, berkata dua blok bangunan yang menempatkan lima kelas Tingkatan Tiga dan makmal sains musnah dibadai ribut.
"Malah semasa air pasang besar pada 23 Disember hingga 27 Disember lalu dua lagi bangunan kelas Tingkatan Satu dan Tingkatan Dua dimasuki air selain bilik kaunseling turut mengalami kerosakan teruk yang mana lantainya dihanyutkan ombak.
"Jadi pada pandangan saya sekolah tersebut perlu dinaik taraf sepenuhnya selepas kerosakan yang berlaku memandangkan bangunan SMK Pulau Gaya sepenuhnya diperbuat daripada kayu," jelasnya.
Beliau memaklumkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah mengambil tindakan melawat sekolah selepas insiden itu berlaku.
"Pihak sekolah sudah mengambil tindakan untuk membuat pembersihan dengan kerja-kerja membaiki kerosakan bangunan terbabit sedang dijalankan.
"Saya bagi pihak ibu bapa berharap supaya JPN dan KPM dapat melihat isu daripada sudut kepentingan pembelajaran terutama membabitkan masalah kekurangan kelas ketika ini," katanya.
Isu sekolah daif mendapat perhatian utama kerajaan dan turut terkandung dalam tujuh teras utama dalam usaha memperkasakan sektor pendidikan negara seperti diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek baru-baru ini.
Perkara itu tersenarai dalam teras keenam dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengubah suai dan menaik taraf sekolah yang mempunyai bangunan daif terutamanya di Sabah dan Sarawak.
EmoticonEmoticon